Isnin, 18 April 2011

PELUANG BERAMAL JARIAH

               Darul Muttaqin mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai yang ingin berinfak atau melakukan amal jariah.  Semoga Allah menjadikan setiap sumbangan itu berpanjangan pahala dan manfaatnya. insyaAllah.

Sumbangan boleh disalurkan melalui 2 cara:

SUMBAGAN DANA UNTUK MEMBANGUNKAN:
- PEJABAT PENTADBIRAN
- PRASARANA DARUL MUTTAQIN
- KEMUDAHAN UNTUK WARGA EMAS

PENAJAAN PONDOK PENGINAPAN:
-MEWAKAFKAN PONDOK UNTUK PENGINAPAN WARGA EMAS

UNTUK MENYUMBANG DAN ATAU MENAJA PONDOK, HUBUNGI TALIAN BERIKUT:

013- 6086568  ( UMMI )

013- 3974466  ( AZHAR )

013-2532434  ( AZNUL )

019-2199947 ( CKG INA )

SUMBANGAN JUGA BOLEH DISALURKAN TERUS KE AKAUN:

PUBLIC BANK ( ISLAMIC )
3988167606  ATAS NAMA PERTUBUHAN KEBAJIKAN WARGA EMAS DARUL MUTTAQIN

Selasa, 12 April 2011

Kupasan Novel Dari Lembah Ke Puncak - Dedikasi untuk semua pelajar elektif Kesusasteraan Melayu

Sinopsis Bab 1 - Bab 12


Bab 1

Jalil anak muda berusia 18 tahun masih berselimut. Dia tidak ke sekolah kerana hujung minggu. Mak Teh sibuk di dapur menyiapkan sarapan pulut tanak dengan ikan sepat atau haruan kering yang menjadi kebiasaan buat mereka anak beranak.

Tahun ini Jalil akan menduduki SPM. Hujung minggu digunakan untuk membantu ibunya mengerjakan sawah yang merupakan sumber pendapatan mereka selain mengambil upah menoreh getah pawah. Jika hari sekolah Jalil akan mengerjakan sawah pada sebelah petang.

Kerbau jantan bernama Awang peninggalan arwah bapanya Pak Teh menjadi kawan karibnya. Jalil tidak mempunyai ramai kawan dan seorang pemalu.

Kehidupan dua beranak ini amat dhaif. Arwah Pak Teh tidak meninggalkan kekayaan. Hanya tanah sawah yang tidak bergeran itulah satu-satunya peninggalan bapanya. Pak Teh merupakan orang terawal meneroka tempat tersebut dan berkali-kali ke pejabat tanah untuk memohon geran tetapi malangnya sehingga dia meninggal dunia tetapi geran tanah tidak dapat diperolehnya.

Kemiskinan itu juga menjadikan Jalil tidak banyak bercakap. Abangnya Muhsin membawa diri ke Kuala Lumpur dan bekerja ikut sempat. Ada kalanya menjadi buruh binaan, kalendan lori dan berbagai-bagai lagi. Namun Muhsin jarang sekali menghantar berita ke kampung apatah lagi duit.

Bab 2

Biah atau namanya Sabariah sering datang ke rumah Jalil meminjam basikal bagi membawa susu getah. Berperwakan seperti lelaki melakukan kerja-kerja menoreh getah untuk keluarganya. Bapanya tidak begitu pedulikan keluarga dan banyak menghabiskan masa di meja mahjung di Pekan Jenun.

Hari itu tersebar berita Biah bertunang dan orang kampung seronok meraikan hari pertunangan itu. Dalam pada itu tiba-tiba gempar pula berita Biah lari dari rumah. Pelbagai spekulasi dilontarkan terhadap peristiwa Biah lari. Ada yang kata dia lari bersama tunangnya dan yang paling Jalil tidak dapat diterima apabila dikatakan Biah lari ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan abangnya Muhsin.

Pada petang pulang dari sekolah, Jalil bertemu Kudin dan mengajaknya pergi tengok bola di Pokok Tai tetapi Kudin bersikap dingin dan memandangnya dengan pandangan yang tajam. Dia merasakan perubahan Kudin ada kaitan dengan peristiwa Biah lari dari rumah.

Mak Teh melenting apabila Jalil bertanya tentang kebenaran berita itu. Mak Teh menafikan sama sekali anaknya berbuat demikian. Muhsin anak kesayangan Mak Teh merupakan anak yang sering mendatangkan masalah kepada keluarga. Muhsin bersekolah setakat tingkatan dua sahaja. Dia diberhentikan dan ditangkap kerana mencuri mangga kunci pintu pagar sekolah. Dia telah meleburkan mangga tersebut dan dibuat kepala tali pinggang. Kes ini mengakibatkan dia ditangkap dan dibuang sekolah.

Seekar tanah telah tergadai akibat memenuhi permintaan Muhsin yang berkehendakkan sebuah motosikal . Harga tanah dibayar separuh dan sebahagian lagi akan dibayar setelah geran diperoleh tetapi hingga akhir hayat Pak Teh wang itu tidak dibayar. Motosikal hilang dirompak orang semasa dalam perjalanan belajar bersilat di Banggol Basin.

Ibunya ingin berjumpa dengan Tok Su Dolah untuk memastikan bahawa anaknya tidak melakukan perkara tersebut. Jalil menasihati ibunya agar pergi ke rumah Pak Ngah Kadir untuk pastikan cerita ini tapi disanggah oleh ibunya dan menuduh Jalil sama seperti orang lain. Untuk tidak mahu bertengkar dengan ibunya, Jalil pergi ke sawah. Dalam perjalanannya ke sawah Jalil tidak tenteram memikirkan hal tersebut.

Berita tersebar dengan pantas dan beberapa bukti ditemui mengatakan sepupu telah terjumpa kad pengenalan Biah di batas bendang menghala ke setesen keretapi Bukit Jenun.

Bab 3

Berita bertambah gempar apabila Biah ditemui oleh bapa saudaranya di rumah setinggan sewaan Muhsin di Jalan Ipoh. Biah berkeras tidak mahu balik.

Mak Teh tergamam mendengar berita itu. Lebih-lebih lagi apabila terbukti Pak Su Dolah telah menipunya selama ini. Jalil tidak berani nak menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Pak Su Dolah. Jalil menerima berita itu dengan hati yang berbelah bagi. Mak Teh menjadi tidak tentu arah. Jalil tidak keluar rumah kerana hubungan dengan jiran agal tegang tetapi dia terus teringat akan matlamatnya untuk lulus SPM dan dia harus berusaha ke arah itu.

Pada hari Rabu, Jalil ke sekolah seperti biasa. Dia telah dimarahi oleh guru Biologinya Miss Ong kerana bimbang prestasinya akan menurun kerana selalu tidak hadir ke sekolah. Miss Ong menaruh harapan yang tinggi kepada Jalil kerana selama ini prestasi Jalil dalam mata pelajaran tersebut amat membanggakan. Jalil tidak mampu untuk menyuarakan masalahnya kerana malu.

Dalam perjalanan balik dari sekolah, dia di sekat oleh tiga orang pemuda. Dia telah dipukul lalu terjatuh. Jalil bangun dan terus pulang ke rumah.

Petang itu Jalil hanya duduk di permatang sawahnya . Apabila mengenangkan apa yang telah menimpa keluarganya Jalil telah menitiskan air mata. Dia tidak tahu kenapa dia menangis tetapi dalam hatinya Jalil menyalahkan abangnya kerana telah memberi mala petaka kepadanya dan keluarga.

Buku pelajaran tidak dipedulikan. Kalau dulu dengan berlampukan pelita minyak tanah Jalil akan menelaah pelajaran hingga larut malam. Tapi kini Jalil banyak termenung.

Kawan-kawan sudah menjauhkan diri darinya. Kalau dulu Roslan anak ketua kg akan tidur baring di rumah buruk Jalil. Sudin anak Lebai Yaakob bermalam bersama Jalil dan Mat Tohid yang berpenyakit sawan juga sudah lama tidak ditemuinya. Jalil merasa malu untuk berhadapan dengan kawan-kawannya.

Jalil dan ibunya tidak banyak bercakap selepas peristiwa tersebut. Pada suatu malam Mak Teh menyatakan hendak pergi ke Guar Cempedak nak minta Pak Long Ayob berjumpa dengan Pak Ngah Kadir untuk uruskan soal Muhsin dengan Biah.

Jalil tidak bersetuju dengan cadangan ibunya kerana antara mereka sudah ada krisis keluarga. Ibunya tetap bertahan dengan pendiriannya. Keesokannya Pak Long Ayob datang ke rumah berunding dengan Mak Teh tentang rancangan mereka. Jalil tidak mahu masuk campur tetapi dia bimbang akan keselamatan Pak Long Ayob. Pada malam itu selepas maghrib, Pak Long Ayob bersiap-siap untuk ke rumah Pak Ngah Kadir. Jarak di antara rumah mereka tidak berapa jauh. Tiba-tiba terdengar bunyi sergahan yang kuat dan Jalil ternampak bayang manusia tercampak keluar melalui pintu rumah. Pak Long Ayob mengerang kesakitan dan ibunya juga melompat turun tangga. Pada malam itu juga Pak Long Ayob balik ke Guar Cempedak dengan berbasikal sejauh sepuluh kilometer disusuli oleh Jalil dan ibunya.

Bab 4

Peristiwa malam itu menyebabkan Mak Teh nekad untuk berpindah. Jalil tidak bersetuju dengan keputusan ibunya dan dia hendak mempertahankan tanah yang telah diamanahkan oleh arwah bapanya. Ibunya tetap nekad untuk berpindah kerana malu atas perbuatan anakanya dan dia mahu menjual tanah tersebut. Konflik berlaku antara Jalil dengan ibunya di mana ibunya akan berpindah dan akan menjual tanah tersebut manakala Jalil ingin mempertahankan tanah tersebut.

Mak Teh ke Guar Cempedak dan menumpag di rumah Pak Long Ayob dan tinggallah Jalil seorang diri di rumah usang itu.

Hari Isnin Jalil ke sekolah seperti biasa. Pada petangnya apabila dia balik dari sekolah Jalil amat terkejut kerana rumah tua peninggalan arwah bapanya sudah tiada. Jalil merasa amat sedih dengan keadaan itu dan pelbagai persoalan menghantui fikirannya. Dimana harus dia tinggal , kenapa ibunya sanggup berbuat demikian. Dipungutnya sisa-sisa atap yang rosak, disusun di pangkal pohon kelapa untuk dijadikan alas tidur dan beg sekolah dijadikan bantal. Pada malam itu dia berselimutkan kedinginan, beratapkan langit dan bermandikan embun. Pada fikirannya dia merasakan bahawa dia juga harus berpindah tapi ke mana?

Bab 5

Pada malam itu hujan turun dengan lebat. Nak ke rumah jiran terdekat hanya Pak Ngah anak beranak yang telah menjadi musuh. Jalil teringat reban ayam lalu dia meraba-raba dalam kegelapan untuk mencari reban ayam. Akhirnya dia berjumpa dengan reban ayam yang robek itu untuk berteduh. Pada malam itu Jalil kesejukan dan teringat dia akan ibunya. Jalil terfikir adakah ibunya fikirkan keadaannya pada ketika itu dan abangnya terfikirkah akan kehidupan adiknya ini? Pelbagai persoalan timbul di benak Jalil sepanjang malam itu.

Esoknya, Jalil tidak ke sekolah. Dia mengeringkan bajunya yang basah. Hari ini Jalil nekad untuk berjumpa dengan ibunya untuk meminta kepastian tentang rumahnya yang roboh dan angkara siapakah yang melakukan sehingga tergamak membuat kehidupan yang begitu menderita.

Dalam pada itu Jalil telah mengimbas kembali sejarah hidupnya ketika di sekolah rendah. Jalil tidak pernah merasa senang dalam hidupnya. Dia tidak pernah ada duit belanja melainkan dia membawa dua biji telur itik dan dijual dengan harga lima belas sen dan itulah duit belanjanya. Namun Jalil seorang pelajar pintar dan sentiasa mendapat tempat pertama setiap kali peperiksaan.

Semasa bapanya masih ada, Jalil sahajalah yang membantu bapanya bersawah. Abangnya Muhsin hanya suka melepak bersama kawan-kawan. Dia rapat dengan anak-anak Haji Lazim yang kaya dan terikut-ikut dengan kehidupan mereka dan Mak Teh menjadi mangsa untuk dia mendapatkan duit.

Kakaknya Fatimah bersekolah di sekolah Arab terpaksa berhenti kerana arwah bapanya tidak mampun untuk membayar yuran dan tidak pernah turun ke sawah. Ketika berumur lima belas tahun Fatimah telah berkahwin dengan seorang tentera yang bertugas di Sarawak. Semenjak berpindak ke Sarawak, Fatimah tidak pernah balik dan hanya mengetahui kematian bapanya seminggu selepas itu.

Jalil merasakan tanggungjawab untuk meneruskan cita-cita bapanya mendapatkan geran adalah terpikul di atas bahunya dan dia akan berusaha untuk mendapatkan geran bagi tanah tersebut.

Sampai sahaja dia di rumah Pak Long Ayob , dia terus bertanya kepada ibunya siapa punya angkara merobohkan rumahnya. Ibunya menyatakan bahawa dialah yang merobohkan rumah tersebut dan akan mendirikan rumah baru di Banggol Lalang. Jalil bertanyakan bagaimana ibunya mendapatkan tapak tanah tersebut. Ibunya menyatakan bahawa dia telah menjual tanah pusaka itu . Jalil amat terperanjat dan tidak mampu untuk bersuara lagi apabila mendengarkan tanah itu telah dijual. Jalil menjadi tidak tentu arah. Dadanya sebak mengenangkan segala peristiwa yang berlaku.

Bab 6

Dengan sisa-sisa kayu reput, Jalil mendirikan dangau di bekas tapak rumah mereka. Kemudian Jalil memungut buku-buku yang dijemurnya tadi. Jalil bertekad untuk meneruskan hidup seorang diri dan ingin bangunkan semula sebuah pondok di situ. Dia seolah-olah tidak mahu mempercayai kata-kata ibunya yang mengatakan tanah itu telah dijual.

Keesokannya Jalil pergi ke sekolah seperti biasa. Sebelum pulang Haji Saad melewati sawahnya dan berkata kepada Jalil tak perlulah dia nak mengerjakan sawah itu kerana sawah itu juga telah dijual. Haji Saad memberitahu bahawa saudara Pak Lang Ali yang telah membeli sawah itu. Untuk mendapatkan kepastian, Jalil ke rumah Pak Lang Ali. Pak Lang Ali memberitahu Jalil bahawa sepupunya Si Amat yang duduk di Gurun telah membeli sawah itu. Jalil telah meminta Pak Lang Ali membawanya berjumpa dengan Si Amat untuk minta agar tanah itu dijual atas janji sahaja. Jalil merasa saat itu amat genting dan terlalu runsing memikirkan tanah itu. Jalil bertekad untuk mempertahankan tanah itu. Setelah selesai bersawah dia mengukuhkan lagi pondok itu. Jalil merasakan dia akan terus mempertahankan tanah itu dan akan berhadapan dengan sesiapa sahaja untuk mempertahankan haknya.

Bab 7

Jalil pergi ke rumah Pak Amat sepupu Pak Lang Ali. Jalil memperkenalkan diri dan berbincang tentang tanah yang telah dijual oleh ibunya. Pak Amat menjelaskan bahawa tanah itu telah dibeli dengan harga sepuluh ribu ringgit. Jalil tidak percaya kerana tanah itu mempunyai nilai dua puluh ribu atau lima puluh ribu jika bergeran. Namun Jalil percaya bahawa ibunya memang benar-benar terdesak untuk menjualnya walaupun dengan kadar harga yang terlalu rendah. Pak Amat beruntung kerana telah berjaya mengambil peluang daripada keadaan yang terdesak itu.

Jalil mendapat akal dengan membuat perjanjian untuk menebus balik tanah tersebut. Jalil berjanji apabila cukup jumlah duit yang terkumpul dalam tempoh sepuluh tahun tanah itu akan diambilnya semula. Sekiranya lebih sepuluh tahun , tanah itu akan menjadi hak mutlak Pak Amat. Satu perjanjian telah dipersetujui bersama . Keadaan ini diambil oleh Jalil untuk melengahkan pengambilannya bagi dia mencari idea baru bagi mempertahankannya. Jalil telah meminta kebenaran untuk terus tinggal di situ. Perjanjian dengan Pak Amat menjadi teras kehidupannya.

Bab 8

Berkisar tentang tanah pusaka yang amat tinggi nilainya bagi Jalil. Peristiwa imbas kembali di mana sebelum bapanya meneroka tanah tersebut dipenuhi hutan belukar. Setelah berbelas-belas tahun memerah kudrat, tanah paya itu berubah menjadi tanah sawah yang subur. Di situ jugalah Pak Teh bertemu jodoh dengan Mak The dari Kampung Tempoyak. Di sini Pak The bersahabat baik dengan Ah Yau. Beberapa bidang tanah yang diterangkan telah dijual kepada orang luar. Sebelah tanah Pak The, ialah tanah Tok Kamis . Tok Kamis menjualnya kepada orang kaya dari Sg. Petani. Tanah itu pula dikerjakan oleh Ah Tong. Ah Tong cuba untuk menganjakkan tanahnya hingga masuk ke kawasan tanah Pak The. Pak The mempertahankannya habis-habisan dan dia hendak menyerang Ah Tong. Ah Tong lari lintang pukang menyelamatkan diri. Ah Yau telah menjadi orang tengah untuk mendamaikan Pak The dengan Ah Tong. Semenjak itu Ah Tong tidak pernah mengganggunya lagi. Usaha Pak The untuk mendapatkan geran tidak berjaya kerana pihak pengurusan sebenarnya tidak pernah memproses permohonannya sehinggalah dia meninggal dunia. Oleh sebab itu sebelum Pak The menghembuskan nafas, dia telah berpesan kepada Jalil untuk mendapatkan hak milik tanah itu. Pada ketika itu Jalil baru berusia 16 tahun.

Bab 9

Petang itu Jalil hanya duduk-duduk mengenangkan nasib malangnya. Tiba-tiba Jalil ternampak kelibat seseorang berjalan dari sebelah kanan kawasan bekas rumahnya. Sapaan Latifah yang tidak disangkanya itu telah membuatkan Jalil berdebar-debar tentang apa tujuan Latifah menemuinya. Latifah telah memberitahu Jalil tentang perkara sebenar tentang hal penjualan tanah pusakanya itu. Latifah memberitahu bahawa tanah itu dijual dengan harga lima ribu sahaja. Latifah memaklumkan bahawa ayahnya telah mengambil untung atas penjualan tanah tersebut. Jalil tertanya-tanya mengapakah Latifah bersikap demikian memberitahu perkara sebenar itu kepadanya. Latifahnya menyuarakan rasa simpati terhadap apa yang berlaku kepada Jalil. Jalil ingin bertanya lebih lanjut lagi dan banyak lagi persoalan yang timbul namun terpaksa dipendamkan. Pertemuan Latifah dan Jalil berakhir di situ.

Jalil terus memikirkan betapa manusia sanggup berbuat apa sahaja demi kebendaan. Jalil juga bersimpati terhadap ibunya yang menjadi mangsa keadaan dan dirinya sendiri yang menjadi sasaran atas kesilapan orang lain.

Pada malam itu Jalil tidak dapat melelapkan matanya memikirkan pertemuan dengan Latifah yang tidak disangka sehingga membongkar rahsia perbuatan bapanya. Jalil masih tercari-cari apakah tindakan yang harus dilakukannya.

Pada masa yang sama Jalil mengagumi kecantikan yang dimiliki oleh Latifah dan Jalil tidak terlepas daripada perasaan ingin memiliki gadis itu. Perawakan Latifah yang lembut, tutur kata yang sopan telah menambat hati Jalil. Perawakannya jauh berbeza jika dibandingkan dengan kakaknya Fauziah yang lebih lincah manakala Hasnah pula agak pendiam.

Pagi esoknya dia bergegas ke sekolah seperti biasa. Dengan basikalnya itulah dia akan meneruskan perjuangannya sebagai seorang murid. Setelah memberi si Awang makan, dia meneruskan perjalanannya ke sekolah. Sebelah petang di bawah terik mentari, Jalil akan berkayuh pulang ke rumahnya yang mengambil masa kira-kira tiga jam untuk sampai. Apabila sampai di rumah dia terus menanak nasi dengan berlaukkan ikan tamban kering yang di bakar di atas bara kayu api tempat dia menanak nasi. Itulah juadah yang paling enak untuknya semenjak berlaku peristiwa malang itu.

Pada petang itu dia ternampak ada plastik tersangkut pada tiang pangkin. Apabila dibukanya plastik tersebut ada sekeping kertas yang tertulis nota yang meminta dia makan makanan yang dibekalkan oleh Latifah. Dari kejauhan dia ternampak bayang Latifah. Jalil menjamah makanan tersebut dengan perasaan sayu dan air matanya menitik mengenangkan nasibnya yang malang itu. Dengan amat payah digagahnya menelan nasi itu dan separuhnya disimpan untuk makan malam.

Bab 10

Selepas mengulangkaji mata pelajaran Fizik, Jalil bersiap untuk ke sawah. Jalil tidak mempunyai jam tangan. Dia hanya menggunakan kepalanya untuk mengagak masa yang dilaluinya sehingga pada suatu hari dia pernah sampai ke sekolah seawal jam tiga pagi. Puaslah dia menunggu pintu pagar untuk dibuka.

Anak benih padi sudah mula bercambah dan perlu diubah ke tapak semaian. Kalau dulu ibunya yang membantu mengubah anak benih padi tersebut tetapi kini ibunya tidak menjenguk langsung ke Bukit Nibung. Dia terus melakukan kerja-kerja membersihkan petak sawah. Ketika hampir senja barulah Jalil berjalan pulang dan dia terbayang akan arwah bapanya menajak di tengah sawah dan persoalan timbul di benaknya bahawa adakah dia akan kehilangan tanahnya ini. Kata-kata ayahnya untuk dia meneruskan permohonan geran terngiang-ngiang di telinganya dan kata-kata itulah yang menjadi pembakar semangatnya untuk meneruskan perjuangan.

Si Awang sangat rapat dengan bapanya dan memahami segala isyarat yang diberikan kepadanya. Jalil sangat sayang akan si Awang. Si Awang dijaganya dengan baik. Setelah selesai dia menguruskan si Awang Jalil membersihkan dirinya. Dengan berbekalkan lampu minyak tanah Jalil menelaah pelajarannya dan hampir pukul sebelas malam barulah Jalil tidur setelah lampu minyak tanah itu dipadamkan.

Tidak berapa lama Jalil tidur, dia terjaga apabila terasa dangaunya bergoyang dan tidur semula apabila gangguan itu hilang. Jalil terjaga sekali lagi kerana kali ini dangaunya bergoyang lebih kuat. Sebahagian dangaunya runtuh. Jalil terkejut kerana tiada hujan dan tiada ribut pada malam itu. Jalil menyangka ada orang menganiayanya tetapi sangkaannya tidak tepat kerana perkara yang berlaku itu adalah angkara si Awang. Jalil tersenyum sendiri memikirkan perbuatan si Awang yang tidak biasa di tempat di situ.

Keesokan harinya dia menebang buluh membuat pondok Awang. Dengan kemahiran menyemat atap Jalil berjaya menyiapkan pondok si Awang.

Bab 11

Pada malam itu surau uzur di kampung itu terang benderang dengan cahaya lampu gasolin. Jalil sudah lama tidak ke surau. Semasa ayahnya masih hidup Jalil sering ke surau bersama ayahnya berjemaah berimamkan Ustaz Haji Megat. Pak Teh adalah antara orang yang mendirikan surau itu. Dahulunya surau berkenaan meriah dengan aktiviti seperti bergotong royong membuat bubur asyura. Tetapi pada malam itu keadaan surau itu berbeza dan membuatkan Jalil tergerak hati untuk meninjaunya. Dia ternampak beberapa orang kampung berbual-bual di surau tua itu. Antaranya Pak Lang Ali, Tok Mat Ketua,Ustaz Haji Megat, Pak Ngah Kadir dan beberapa orang lagi. Jalil merasa hairan melihat Pak Ngah Kadir ada bersama di surau kerana setahunya Pak Ngah Kadir hanya menghabiskan masa di kedai kopi bermain mahjung. Jalil mengesyaki sesuatu.

Dengan langkah yang berhati-hati dia menghampiri surau itu dan mendengar perbualan mereka. Berderau darah Jalil apabila mendengar perbualan mereka adalah berkisar tentang dirinya dan keluarganya. Mereka nak menghalaunya dari kampung itu. Hatinya terbakar apabila mendengarkan perihal dirinya nak dihalau namun ditabahkannya hati untuk bertindak lebih berhati-hati. Jalil bergegas balik ke dangaunya. Jalil mendiamkan diri di atas pangkin kerana menunggu mereka melewati tempatnya. Jalil sembunyikan diri kerana Pak Ngah Kadir menyuluh ke arah dangaunya dan bimbang Pak Ngah Kadir akan bertindak ke atas dirinya. Jalil perlu berhati-hati kerana dia sebatang kara di situ.

Bab 12

Zaman remaja merupakan zaman yang indah. Tetapi ini tidak berlaku kepada Jalil kerana kehidupan remajanya penuh dengan onak, ranjau dan duri atas sebab peristiwa yang telah menimpa dirinya. Akibat daripada itu Jalil dipandang jijik oleh orang kampung. Jalil tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini kerana dia yang memilih jalannya sendiri dan dia perlu cekal.

Janjinya kepada bapanya melebihi segala-galanya. Ketika bersekolah rendah, dia sudah mengenal erti kepayahan hidup arwah bapanya. Namun segala kepayahan dan kegembiraan bersama bapanya hanya tinggal kenangan. Jalil merasa kematian bapanya satu kehilangan besar baginya. Banyak perkara yang tidak sempat dipelajari daripada bapanya kerana bapanya pergi secara mengejut. Kini hidupnya penuh dengan ancaman dan pandangan orang terhadapnya penuh dengan prasangka.

Kalau dulu rumahnya sering menjadi tumpuan dalam apa jua aktiviti orang kampungl Namun kini keadaan itu sudah tiada. Suasana kehidupan kini amat sepi bagi Jalil.

Namun Jalil tetap tabah dan tetap dengan pendiriannya.

Ancaman demi ancaman diterimanya. Ancaman yang paling dahsyat ialah kaki kanan Jalil tertusuk benda tajam ketika dia hendak mengubah semaian. Sekeping kaca melekat pada kakinya yang menyebabkan darah menghambur keluar. Dia segera melakukan apa yang telah bapanya lakukan untuk menghentikan darah dengan menggunakan kopi dan gula. Jalil terbaring di dangaunya dan tidak sedar bila dia tertidur. Dia hanya tersedar apabila Latifah datang.

Latifah cuba membantunya tapi Jalil enggan menerimanya. Latifah balik ke rumah mengambil plaster untuk menampal luka kaki Jalil. Dalam kesakitan Jalil hanya berserah tetapi dia sedar risiko yang bakal dihadapinya sekiranya ada mata yang melihat keadaan itu.

Dalam pada itu Jalil memerhatikan Latifah dan tercetus di hatinya alangkah baiknya jika dia memiliki seorang adik yang sebaik Latifah. Akhirnya Latifah berjaya membantu mengurangkan kesakitan yang dialaminya.

Akibat daripada itu, Jalil tidak dapat turun untuk mengerjakan sawah beberapa hari. Dia bimbang padi yang ditanam tidak akan subur. Jalil gagahkan diri untuk turun ke sawah.

Dia menggunakan kasut sekolahnya dan apabila hendak ke sekolah, kasut itu akan dibasuh dan diasapkan untuk dikeringkan. Akibatnya dia memakai kasut berbau asap.

Akhirnya hampir dua minggu Jalil mengambil masa , sawah padi itu bertanam juga.

PROGRAM BULAN BAHASA - Penghayatan Terhadap Puisi Tradisional

        SMK Saujana Utama telah mengadakan Program Bulan Bahasa.  Program ini memberi peluang kepada semua murid untuk melibatkan diri secara aktif dalam memartabatkan bahasa Melayu.  Pelajar sastera tidak melepaskan peluang untuk turut menyertai program ini.  Pelajar-pelajar sastera ini telah menunjukkan bakat mereka dalam memperjuangkan warisan tradisi puisi lama iaitu, syair, gurindam dan seloka agar tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan.  Ternyata mereka dapat menghayati dan mempersembahkan nyanyian yang sarat dengan mesej ini dengan begitu baik.
Ckg Ina sebagai pelopor mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di sekolah ini telah berjaya menerapkan nilai-nilai dalam mencintai hasil seni warisan budaya Melayu dalam kalangan murid-murid yang mengambil mata pelajaran elektif ini khususnya dan keseluruhan murid yang mempelajari komsas umumnya.


Gambar-gambar sekitar persembahan pelajar dalam program tersebut.


                                     
                 Merdu sungguh alunan paduan suara Amira dan Fareez mengalunkan irama syair.


Syahirah dan Izzati mendendangkan "Gurindam Baris Hadapan"


Ridzuan berpasangan dengan Emy menghidupkan majlis sebagai juruacara yang memuatkan puisi tradisional pantun, gurindam , syair dan seloka dalam celoteh mereka



Amira Lyana berpadu suara bersama Fazlyana mengalunkan seloka Pak Kaduk yang sarat dengan sindiran dan iramanya yang menghiburkan.

DARUL MUTTAQIN

 

 
Pusat Pengajian Islamiyah Darul Muttaqin ialah sebuah Pusat Pembinaan Ilmu bagi insan yang cenderung kepada kehidupan yang beroleh kebahagiaan dunia dan akhirat.


Pendaftaran dibuka sekarang.


SYARAT-SYARAT KEMASUKAN SEPERTI DI BAWAH:

1. Mengisi borang permohonan masuk Pusat Pengajian Islamiyah Darul Muttaqin.

2. Umur 21 tahun ke atas ( bawah 21 tahun boleh dirunding )

3. Permohonan dibuka untuk lelaki dan perempuan.

4. Setiap peserta diwajibkan menyertai setiap program PPIDM dengan penuh komitmen.

5. Sanggup tinggal sepenuh masa di PPIDM.

6. Sanggup mengikuti segala peraturan serta menyesuaikan dirinya dengan cara hidup di PPIDM.

7. Setiap peserta dikehendaki berkeadaan sihat tubuh badan.



Borang yang telah dilengkapi hendaklah dihantar ke alamat seperti di bawah ini:

Alamat : Pusat Pengajian Islamiya Darul Muttaqin,
Lot 6218 Kg. Permata Kundang,
47000, Sungai Buloh,
Selangor Darul Ehsan


Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:
• Ummi Hajah Zainab bt. Hj. Ismail H/p : 0136086568
• Hj. Azharudin b. Mohd. Ariffin H/p: 0133974466
• Aznul Khairi b. Ahmad H/p: 0133707193
• Azlina bt. Ahmad H/p: 0192199947



PROGRAM / AKTIVITI

• Mengadakan solat berjemaah 5 waktu.

• Mengadakan kelas pengajian.

• Mengadakan Khidmat Bimbingan dan Motivasi.

• Mengadakan program hari kebesaran Islam seperti Maulidur Rasul, Isra’ dan Mi’raj, Nuzul Al-Quran dan lain-lain.

• Riadhah / bersenam.


MATA PELAJARAN

• Tauhid / Akidah

• Fekah / Ibadah

• Akhlak

• Sirah An-nabawiah

• Tafsir Al- Quran

• Kelas Tajwid / memperbaik bacaan Al-Quran.

• Tasauf

• Hadis.


PENGAJIAN

Semua ahli akan menghadiri pengajian seperti jadual yang disediakan iaitu:
• Selepas solat Maghrib, pengajian menadah kitab.

• Selepas solat Subuh – bacaan Al-Quran.

• 9.30 – 10.30 pagi, pengajian menadah kitab.


KITAB-KITAB YANG DIGUNAKAN

• Risalah Tauhid oleh Abdul Gani Yahya & Umar Yusuf

• Fekah Idaman Penuntut

• Bimbingan Mukmin oleh Asyikh Muhamad Jamludin Al-Qosini.

• Penawar bagi hati

• Hadis empat puluh oleh Ustaz Mustafa Abd. Rahman

• Tafsir Al-Quran Bimbingan Ar Rahman.